Bismillahirrahmanirrahiim..
Seringkali menjadi dilema wanita, setelah bergelar isteri (lebih-lebih lagi jika sudah ada baby) untuk memilih samada meneruskan karier, atau berhenti menjadi surirumah. So, this is from my own experience......
First, people's perspective. Blaja tinggi-tinggi, tapi duduk rumah? Kan rugi blaja, membazir duit, las-las taknak kerja. Orang lain boleh duduk rumah besa, makan mewah, boleh pegi melancong dan mcm2, sebut saja, mudah nak dapat. Kalau tak kerja, duit takkan jatuh dari langit senang-senang.
Second, my perspective (hehe..) . Sejujurnya, hati saya tidak pernah senang dan tenang setiap kali saya keluar bekerja. Meninggalkan suami bersarapan seorang diri, tiada yang menghantarnya di muka pintu, mencium tangannya bila dia keluar pergi kerja. Kadangkala, tidak sempat menyiapkan sarapan. Pulang dari kerja, bergegas membersihkan rumah dan menyiapkan makan malam pula. Letih itu perkara biasa, tetapi semua ini terasa seperti tidak bertanggungjawab terhadap suami. Ya, bila sedang bekerja, semua perasaan ini hilang, tetapi jika melaluinya setiap pagi sudah menjadi satu seksaan jiwa bagi seorang isteri yang menyayangi suaminya.
Sebab pertama saya memilih untuk menjadi suri rumah. Kerana saya percaya, Allah yang berkuasa memperlakukan apa sahaja kepada hati hambaNya. Dia telah mencampakkan perasaan tidak senang ini di dalam hati saya. Bahkan dalam masa yang sama, saya tahu saya berperasaan sedemikian kerana saya faham tugas sebenar seorang wanita. Allah telah menjadikan wanita tidak lain hanya kerana satu sebab sahaja.... Memberikan ketenangan kepada pasangan yang telah ditakdirkan untuknya....
Firman Allah yang bermaksud : "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." -ArRuum, 21
Sungguh indah Allah jadikan penciptaan wanita. Melihatnya menenangkan hati, bersama dengannya membahagiakan, setiap sentuhan menimbulkan rasa dicintai, setiap kata-kata penuh kelembutan. Suami yang keluar bekerja mencari rezeki, penat fizikal & mental, bijak menyembunyikan rasa penatnya, tetapi bila bertemu isteri dan anak-anak, hatinya akan menjadi lapang. Bagaimana bisa seorang wanita mampu menjalankan tugas WAJIB ini jika dia sendiri diserabuti komitmen lain?
Sebab kedua. Logik akal mengatakan, kalau tak kerja mana nak cukup makan minum pakai tempat tinggal semua. Orang nak hidup senang, bukan nak hidup susah. Memang benar dakwaan itu. Tetapi sekiranya seseorang itu merenung dari jendela akhirat dan bukan jendela dunia, hati akan jadi lapang. Kerana kita ada Allah bukan?
Bukankah saya seorang wanita? Allah tidak membebani seorang wanita dengan kewajipan mencari nafkah, bahkan menggalakkan wanita menjaga ahli keluarga. Maka, saya berani untuk mengambil keputusan berhenti bekerja, kerana sememangnya tempat saya bukan di situ ~~~ Saya yakin, saya tinggalkan pekerjaan kerana Allah, dan saya bertawakal dengan keyakinan 100% bahawa Allah akan menjaga kami dari sudut rezeki, malah akan menggantikan apa yang saya tinggalkan dengan sesuatu yang lebih baik. Saya tidak melakukan kesalahan dengan menjadi surirumah, kerana saya tidak diwajibkan bekerja, betul? Maka dengan keyakinan kepada Allah semata-mata, saya tidak takut menghadapi masa depan. Hasbunallah wani'malwakeel....
Adakah kini hidup saya baik? Maha Suci Allah yang Tiada Tuhan selain Dia. Setelah itu, kehidupan kami diuji untuk beberapa bulan pertama. Hujung bulan cukup-cukup sahaja. Tetapi kerana saya telah menyerahkan hidup saya di tangan Allah, maka saya bersyukur dengan apa yang ada, dan saya tidak mengeluh atau rasa cemburu dengan sesiapa. Saya pasti Allah menjaga kami dengan baik, dan saya percaya apa yang Allah beri semuanya pasti cukup! Kemudian, takdir Allah telah memberikan suami saya pekerjaan yang baru, dengan pendapatan yang lebih lumayan, Alhamdulillah. Dengan itu, kami mampu memiliki rumah sendiri yang pada mulanya kami tertanya-tanya bilakah peluang ini akan datang. Allah telah menjawab persoalan ini tanpa diduga, dari jalan yang tidak disangka-sangka, dengan kemudahan yang luar biasa, dan telah menyediakan persekitaran rumah baru yang sungguh menenangkan.
Sejak menjadi surirumah, Allah telah menjadikan hati saya merasa cukup dengan apa yang Dia kurniakan. Melihat para sahabat yang hidup mewah, pergi melancong, pakaian yang cantik-cantik, anak-anak juga berpakaian cantik, makan di restoran yang hebat, tetapi di dalam hati saya, tidak terdetik rasa mahu apa yang orang lain ada yang tiada pada saya. Allah menjadikan emas, mutiara, pakaian sutera, rumah dan kereta mewah, bahkan wang yang banyak, semuanya perkara yang tidak penting bagi saya. Malah tiada keinginan untuk memilikinya sekalipun... setiap kali hati saya diracun oleh syaitan untuk rasa ingin memiliki itu dan ini, saya merasakan sebuah kekuatan untuk menepis hasutan itu dengan membayangkan betapa indahnya hadiah yang akan Allah berikan kepada saya di akhirat nanti.
Memang Allah tidak menghalang perhiasan dunia untuk dinikmati. Benar, saya bukanlah membenci sesiapa yang ingin hidup mewah, tetapi saya lebih tenang dan senang dengan apa yang ada. Apa yang kalian dapat itu sememangnya selayaknya anda perolehi keran Allah telah merezekikannya sejak anda di dalam rahim lagi. Maha Suci Allah! Ya, saya suka melihat pakaian baru yang sahabat-sahabat saya jual, tetapi setakat itu sahaja. Jika tak beli pun, saya tidak kisah. Kalau beli pun, tidak salah. Hehe.
Apa yang penting, perubahan besar yang paling saya hargai setelah menjadi surirumah. Saya merasakan Allah sentiasa ada bersama. Setiap kali saya membersihkan rumah, saya ingat pada Allah yang menyukai kebersihan. Saya mahu rumah saya bersih dan kemas kerana ia tempat kami beribadat dan meluangkan masa bersama, serta mencerminkan iman dan akhlak. Saya mempunyai masa untuk memantapkan ilmu-ilmu agama, juga sempat untuk mendekatkan diri dengan Allah melalui ibadah-ibadah khusus. Saya dapat mendidik anak saya, meracang pembelajarannya, permainan untuk perkembangannya, menjaga perlakuannya, dan memperkenalkan Allah dalam hidupnya setiap hari setiap masa. Bahkan, saya senang hati melakukan semua ini demi menyenangkan hidup suami, dan memperoleh redha Allah.
Maka degree itu hanya disimpan? Tidak. Bahkan ianya sebuah amanah yang telah Allah berikan. Ilmu yang dikumpul selama ini, akan saya gunakan untuk mendidik ummah. Allah juga tidak membiarkan saya duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa. Bahkan di hati ini, setiap kali melihat anak-anak muda, pelajar-pelajar sekolah yang hidup jauh dari Allah, saya jadi tidak senang dan gelisah. Saya mahu menyelamatkan mereka. Maka saya berharap suatu hari nanti, Allah akan mudahkan urusan saya dalam berkhidmat kepada ummah. Insya-Allah suatu hari nanti.
Dan membantu suami dari segi kewangan, wallahua'lam. Perancangan Allah tiada siapa yang tahu, tetapi saya perlu mencuba itu & ini, dan berdoa, semoga Allah memberi saya petunjuk agar sentiasa memilih pengakhiran yang lurus, dipelihara dari kehinaan dunia, dan siksa hari akhirat.
Hutang-hutang juga saya perlu lunaskan sebelum kembali kepada Allah bukan? :-)
"Apa yang penting, setiap keputusan hidup yang kita pilih itu, perlulah difikir yang manakah jalan yang akan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah. Bagaimana ia dapat menjadikan Allah redha kepada kita, dan apa yang dapat kita perolehi darinya yang menyebabkan akhirnya kita sampai kepada rahmat Allah..... "
Wassalam!
 |
Suami, dan anak-anak, adalah pilihan terbaik untukku menemui Allah nanti dalam keadaan Dia paling redha kepadaku... InsyaAllah. |