Pages

Saturday, August 16, 2014

How Can A Man and a Woman Bond...?

Bismillah..

Eventho baru a few hours, rumah sudah terasa sunyi... las friday, my dad came to visit.. alhamdulillah. He had a memorable bonding time dgn Zakiyyah, which had been a blessing to us yg tumpang gembira.

You see, kdg2 tak perlu jgk utk tunggu benda2 major. Skali-skala, jalinan kasih syg antara manusia atau sesama makhluk pun sudah cukup utk memuji Allah.

Bila menyentuh bab-bab sayang nie, paling bes bg example perkahwinan...

Pelik jgk kan, mcm mna seorg lelaki yg mempunyai cara fikir yg berbeza,gaya hidup dn corak pergaulan yg totally berbeza dgn wanita boleh jatuh cinta, berkahwin, hidup bersama berbertahun-tahun, dan bahagia bersama anak cucu yg mcm2 pulak kerenah dan perangai...

Kuasa Allah, menyemai perasaan saling mengasihi ini di dlm lubuk hati, semakin lama semakin bercambah menjadi bunga yg harum mewangi, lalu berkembang ia sebagai taman-taman yg membawa ketenangan kpd sesiapa yg dtg berkunjung.

That is all lah nk kabo mlm nie... semoga Allah rahmati kita semua dgn berjuta-juta lemon kebahagiaan..!









Sunday, May 25, 2014

Cukupkah Keperluan Dengan Hanya Menjadi Suri Rumah?

Bismillahirrahmanirrahiim..


Seringkali menjadi dilema wanita, setelah bergelar isteri (lebih-lebih lagi jika sudah ada baby) untuk memilih samada meneruskan karier, atau berhenti menjadi surirumah. So, this is from my own experience......

First, people's perspective. Blaja tinggi-tinggi, tapi duduk rumah? Kan rugi blaja, membazir duit, las-las taknak kerja. Orang lain boleh duduk rumah besa, makan mewah, boleh pegi melancong dan mcm2, sebut saja, mudah nak dapat. Kalau tak kerja, duit takkan jatuh dari langit senang-senang. 


Second, my perspective (hehe..) . Sejujurnya, hati saya tidak pernah senang dan tenang setiap kali saya keluar bekerja. Meninggalkan suami bersarapan seorang diri, tiada yang menghantarnya di muka pintu, mencium tangannya bila dia keluar pergi kerja. Kadangkala, tidak sempat menyiapkan sarapan. Pulang dari kerja, bergegas membersihkan rumah dan menyiapkan makan malam pula. Letih itu perkara biasa, tetapi semua ini terasa seperti tidak bertanggungjawab terhadap suami. Ya, bila sedang bekerja, semua perasaan ini hilang, tetapi jika melaluinya setiap pagi sudah menjadi satu seksaan jiwa bagi seorang isteri yang menyayangi suaminya.

Sebab pertama saya memilih untuk menjadi suri rumah. Kerana saya percaya, Allah yang berkuasa memperlakukan apa sahaja kepada hati hambaNya. Dia telah mencampakkan perasaan tidak senang ini di dalam hati saya. Bahkan dalam masa yang sama, saya tahu saya berperasaan sedemikian kerana saya faham tugas sebenar seorang wanita. Allah telah menjadikan wanita tidak lain hanya kerana satu sebab sahaja.... Memberikan ketenangan kepada pasangan yang telah ditakdirkan untuknya.... 

Firman Allah yang bermaksud : "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." -ArRuum, 21

Sungguh indah Allah jadikan penciptaan wanita. Melihatnya menenangkan hati, bersama dengannya membahagiakan, setiap sentuhan menimbulkan rasa dicintai, setiap kata-kata penuh kelembutan. Suami yang keluar bekerja mencari rezeki, penat fizikal & mental, bijak menyembunyikan rasa penatnya, tetapi bila bertemu isteri dan anak-anak, hatinya akan menjadi lapang. Bagaimana bisa seorang wanita mampu menjalankan tugas WAJIB ini jika dia sendiri diserabuti komitmen lain?

Sebab kedua. Logik akal mengatakan, kalau tak kerja mana nak cukup makan minum pakai tempat tinggal semua. Orang nak hidup senang, bukan nak hidup susah. Memang benar dakwaan itu. Tetapi sekiranya seseorang itu merenung dari jendela akhirat dan bukan jendela dunia, hati akan jadi lapang. Kerana kita ada Allah bukan? 

Bukankah saya seorang wanita? Allah tidak membebani seorang wanita dengan kewajipan mencari nafkah, bahkan menggalakkan wanita menjaga ahli keluarga. Maka, saya berani untuk mengambil keputusan berhenti bekerja, kerana sememangnya tempat saya bukan di situ ~~~ Saya yakin, saya tinggalkan pekerjaan kerana Allah, dan saya bertawakal dengan keyakinan 100% bahawa Allah akan menjaga kami dari sudut rezeki, malah akan menggantikan apa yang saya tinggalkan dengan sesuatu yang lebih baik. Saya tidak melakukan kesalahan dengan menjadi surirumah, kerana saya tidak diwajibkan bekerja, betul? Maka dengan keyakinan kepada Allah semata-mata, saya tidak takut menghadapi masa depan. Hasbunallah wani'malwakeel....

Adakah kini hidup saya baik? Maha Suci Allah yang Tiada Tuhan selain Dia. Setelah itu, kehidupan kami diuji untuk beberapa bulan pertama. Hujung bulan cukup-cukup sahaja. Tetapi kerana saya telah menyerahkan hidup saya di tangan Allah, maka saya bersyukur dengan apa yang ada, dan saya tidak  mengeluh atau rasa cemburu dengan sesiapa.  Saya pasti Allah menjaga kami dengan baik, dan saya percaya apa yang Allah beri semuanya pasti cukup! Kemudian, takdir Allah telah memberikan suami saya pekerjaan yang baru, dengan pendapatan yang lebih lumayan, Alhamdulillah. Dengan itu, kami mampu memiliki rumah sendiri yang pada mulanya kami tertanya-tanya bilakah peluang ini akan datang. Allah telah menjawab persoalan ini tanpa diduga, dari jalan yang tidak disangka-sangka, dengan kemudahan yang luar biasa, dan telah menyediakan persekitaran rumah baru yang sungguh menenangkan.

Sejak menjadi surirumah, Allah telah menjadikan hati saya merasa cukup dengan apa yang Dia kurniakan. Melihat para sahabat yang hidup mewah, pergi melancong, pakaian yang cantik-cantik, anak-anak juga berpakaian cantik, makan di restoran yang hebat, tetapi di dalam hati saya, tidak terdetik rasa mahu apa yang orang lain ada yang tiada pada saya. Allah menjadikan emas, mutiara, pakaian sutera, rumah dan kereta mewah, bahkan wang yang banyak, semuanya perkara yang tidak penting bagi saya. Malah tiada keinginan untuk memilikinya sekalipun... setiap kali hati saya diracun oleh syaitan untuk rasa ingin memiliki itu dan ini, saya merasakan sebuah kekuatan untuk menepis hasutan itu dengan membayangkan betapa indahnya hadiah yang akan Allah berikan kepada saya di akhirat nanti. 

Memang Allah tidak menghalang perhiasan dunia untuk dinikmati. Benar, saya bukanlah membenci sesiapa yang ingin hidup mewah, tetapi saya lebih tenang dan senang dengan apa yang ada. Apa yang kalian dapat itu sememangnya selayaknya anda perolehi keran Allah telah merezekikannya sejak anda di dalam rahim lagi. Maha Suci Allah! Ya, saya suka melihat pakaian baru yang sahabat-sahabat saya jual, tetapi setakat itu sahaja. Jika tak beli pun, saya tidak kisah. Kalau beli pun, tidak salah. Hehe. 

Apa yang penting, perubahan besar yang paling saya hargai setelah menjadi surirumah. Saya merasakan Allah sentiasa ada bersama. Setiap kali saya membersihkan rumah, saya ingat pada Allah yang menyukai kebersihan. Saya mahu rumah saya bersih dan kemas kerana ia tempat kami beribadat dan meluangkan masa bersama, serta mencerminkan iman dan akhlak. Saya mempunyai masa untuk memantapkan ilmu-ilmu agama, juga sempat untuk mendekatkan diri dengan Allah melalui ibadah-ibadah khusus. Saya dapat mendidik anak saya, meracang pembelajarannya, permainan untuk perkembangannya, menjaga perlakuannya, dan memperkenalkan Allah dalam hidupnya setiap hari setiap masa. Bahkan, saya senang hati melakukan semua ini demi menyenangkan hidup suami, dan memperoleh redha Allah.

Maka degree itu hanya disimpan? Tidak. Bahkan ianya sebuah amanah yang telah Allah berikan. Ilmu yang dikumpul selama ini, akan saya gunakan untuk mendidik ummah. Allah juga tidak membiarkan saya duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa. Bahkan di hati ini, setiap kali melihat anak-anak muda, pelajar-pelajar sekolah yang hidup jauh dari Allah, saya jadi tidak senang dan gelisah. Saya mahu menyelamatkan mereka. Maka saya berharap suatu hari nanti, Allah akan mudahkan urusan saya dalam berkhidmat kepada ummah. Insya-Allah suatu hari nanti. 

Dan membantu suami dari segi kewangan, wallahua'lam. Perancangan Allah tiada siapa yang tahu, tetapi saya perlu mencuba itu & ini, dan berdoa, semoga Allah memberi saya petunjuk agar sentiasa memilih pengakhiran yang lurus, dipelihara dari kehinaan dunia, dan siksa hari akhirat. 

Hutang-hutang juga saya perlu lunaskan sebelum kembali kepada Allah bukan? :-) 

"Apa yang penting, setiap keputusan hidup yang kita pilih itu, perlulah difikir yang manakah jalan yang akan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah. Bagaimana ia dapat menjadikan Allah redha kepada kita, dan apa yang dapat kita perolehi darinya yang menyebabkan akhirnya kita sampai kepada rahmat Allah..... "

Wassalam! 

Suami, dan anak-anak, adalah pilihan terbaik untukku
menemui Allah nanti dalam keadaan Dia paling redha kepadaku... InsyaAllah.






Friday, May 23, 2014

Usrah Tak Jadi, Kecewa?





Alhamdulillah... seperti yang dinyatakan di dalam topik hari ini, usrah yang tak jadi, alhamdulillah saya tidak kecewa. Bahkan saya percaya, perancangan yang diatur oleh Allah untuk saya dan para sahabat yang lain adalah yang terbaik buat kita pada saat ini. 


Ibu, takpe ibu ajar Zakiyyah je la ye arini.. ^_^

Imam Ahmad meriwayatkan dari Anas bin Malik dari rasulullah saw beliau bersabda ( yang bermaksud):

“Tiadalah suatu kaum yang berkumpul untuk berzikir kepada Allah, yang dengannya mereka tidak menghendaki kecuali wajahNya, melainkan ia akan diseru oleh seorang penyeru langit: Bangunlah kalian dalam keadaan terampuni, dan berbagai keburukanmu telah diganti dengan kebaikan.”


Niat saya untuk mengadakan usrah di rumah adalah kerana keinginan saya untuk menjadikan rumah ini kunjungan para malaikat. Saya dambakan suasana yang mana hamba-hamba Allah berkumpul di sini, hanya semata-mata mahu mengingati Allah bersama-sama. Sesungguhnya, di dalam suatu majlis ilmu, ada malaikat yang mengelilingi kawasan tersebut, dan ianya adalah sebuah gambaran yang sangat mengujakan!

hihi.... tetapi, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita masing-masing kan? Maka saya bersyukur dengan setinggi-tinggi pujian untuk Allah. Kerana pada awalnya saya menjangkakan usrah akan berjalan seperti yang dirancang (walaupun kehadiran sgt sedikit, suami saya kata takpe, mula dengan sikit2 dulu..) saya telah berjaga beberapa jam sebelum subuh untuk membuat persediaan.

Ketika itu, hanya saya dan Allah. Saya baca ayat-ayat Allah (al-Kahfi) dan huraiannya satu persatu. Saya tahu, 10 ayat pertama surah ini menjadi pelindung dari fitnah Dajjal. Saya tahu, sebabnya ia menyeru bahawa jalan menuju Allah adalah jalan yang lurus dan Dajjal adalah penipu besar yang jalannya bengkok-bengkok. Bahkan, surah ini juga menganjur untuk beramal soleh, agar iman terpelihara.

Ya, setakat itu pengetahuan saya. Tetapi haruslah difaham disini, bahawa 'tahu' itu tidak bermakna 'sedar'... 

Bagaimana sebenarnya dikatakan surah al-Kahfi ini mampu menunjuk jalan yang lurus? Bagaimana seseorang itu beramal soleh yang menyebabkan imannya terpelihara? 

Dan persoalan ini terungkai apabila saya membaca tafsirannya. Dan Maha Suci Allah, yang telah merezekikan saya untuk memahami tafsiran ayat 1-31. Maha Suci Allah, yang telah melapangkan dada saya di waktu orang lain sedang nyenyak tidur, untuk mengisi jiwa dengan keindahan dan kemanisan kata-kata semangat dari Allah melalui al-Quran. Membayangkan pengorbanan dan kesedihan Rasulullah saw dalam menyebarkan al-Kitab. Perasaan yang bercampur-baur antara ketakutan dan keberanian Ashabul Kahfi dalam mempertahankan iman. Menyedari hakikat mengakui hanya Dia yang layak disembah, Tiada Tuhan melainkan Dia, adalah tidak cukup selagi jiwa tauhid itu tidak difahami dengan sebenar-benarnya. Kadangkala tanpa disedari, air mata mengalir apabila terasa kasih sayang Allah yang meresap masuk jauh di dalam hati....

Apa yang menarik sangat tafsir al-quran ni? Kan di mana-mana pun sama, boleh beli di mph dan sebagainya? 

Nah, itu satu tanggapan yang kurang tepat wahai sahabat~~ saya juga dahulu kala seperti kalian... menganggap tafsir al-Quran adalah terjemahan bahasa Arab al-Quran kepada bahasa Melayu! 

Tetapi saya silap... 

Terjemahan itu terjemahan. Tafsir itu huraian. Kadangkala ayat yang kita baca terjemahannya, tidak semestinya pemahan kita betul mengenainya. Maka tafsir ini menunjukkan sejarah ayat, kisah para sahabat di sebalik ayat, mengapa ayat itu diturunkan dan sebagainya. Lalu kita jadi faham tentang mesej sebenar Allah setelah membaca tafsiran itu! 

Alhamdulillah.... So, aktiviti terbaru saya sekarang, ialah memvideokan apa yang saya pelajari awal pagi tadi... Walaupun tiada usrah di rumah, diharap dengan video yang saya akan upload nanti, lebih raaaamaaaaiii lagi yang akan menghayati keindahan surah al-Kahfi... 

Sekian, wallahua'lam!  
















Thursday, May 22, 2014

Cukuplah Allah Bagiku...

Bismillahirrahmanirrahiim...




Segala pujian hanya milik Nya.. Sesungguhnya, kerajaan langit dan bumi ini milikNya sahaja, dan Allah berhak melakukan apa sahaja. Jika Dia ingin mengurniakan sesuatu kepada seorang hambaNya, maka tiada siapa dan apa-apa pun yg dpt menghalangnya. Andai Dia mahu mengambil sesuatu daripada hambaNya, maka tiada tangan yg mampu menahannya.

Maka kehidupan seorang insan yang mengakui keesaan Allah swt dan kerasulan Muhammad saw, dipenuhi dengan ujian. Setinggi mana keyakinan seseorang itu terhadap Allah, dan sekuat mana pegangannya terhadap penyaksiannya itu akan terbukti melalui ujian yang menimpa nasibnya.

Oleh itu, saya juga sedang diuji. Subhanallah, Maha Suci Allah. Sesungguhnya hanya Allah yang selayaknya dipuji kerana ujian ini datang dariNya. 

1) Saya ingin menyertai kelas jahitan langsir, sudah daftar dengan deposit RM200, tetapi bajet pula tidak mencukupi kerana yurannya adalah RM800. Maka kelas ini saya tangguhkan.

2) Ingin mengadakan kelas tuisyen untuk menjana modal perniagaan dan menghadiri kelas langsir. Konsepnya berlainan dengan tuisyen sedia ada kerana saya ingin mendidik dengan dalil-dalil al-Quran, di samping mengajar berdasarkan silibus. Iklan sudah ditampal di beberapa tempat, tetapi sehingga kini belum ada yang menghubungi.

3) Saya ingin memohon pinjaman perniagaan (sebagai alternatif), namun tidak mendapat sokongan suami. 

4) Saya ingin mengadakan usrah dan perbincangan agama, mengajak sahabat terdekat untuk sama-sama mengingati Allah, tetapi sambutannya pula sangat kurang, dan saya perlu membatalkan hasrat itu.

5) Saya ingin menjadi ibu yang baik dan penyabar. Namun saya diuji dengan anak yang sangat cerdik dan sangat aktif, sehingga kesabaran saya benar-benar diuji. 

Sejujurnya, pernah saya berfikir, apakah yang menyebabkan semua ini? Adakah saya ini terlalu banyak dosanya? adakah saya terlalu jahat sehingga niat saya baik untuk melakukan semua itu, tetapi sehingga kini masih tidak mendapat apa-apa? adakah saya sebenarnya tidak ditakdirkan untuk syurga? Adakah hidup saya ditakdirkan untuk tidak berkat? orang lain, bahkan yg bukan islam pula, mudah sekali urusannya.... 

Ya, saya akui semua itu pernah terlintas di hati sehingga saya menangis seorang diri. Hendak diceritakan pada suami, menambah bebannya pula. Lalu saya pujuk hati ini....



Wahai hati, sesungguhnya Allah itu Maha Baik. Dan Allah tidak pernah sesekali menzalimi hambaNya! Bukankah engkau mahu jadi baik? Maka terlebih dahulu engkau perlu diuji. Dengan itu barulah engkau tahu jika engkau benar-benar beriman dengan Allah! Wahai hati, Allah tahu apa yang engkau tidak tahu, oleh itu jangan pernah berputus asa dari rahmatNya. Sekarang engkau sedar, bahawa Allah sangat penting dalam kehidupanmu, maka berpegang teguhlah pada tali Allah. Jangan bersedih, kerana engkau kata engkau yakin pada Allah. Nah, buktikanlah keyakinanmu itu dengan terus-terusan berdoa dan berharap dengan pengharapan seorang hamba! Lipat-gandakan usaha dan jangan buang masa! andai engkau rasa dirimu berdosa, janganlah bimbang wahai hati.... memang benar, byk perkara yang menyedihkan akan berlaku disebabkan dosa. Tetapi janganlah menyalahkan Allah wahai hati... demi Allah, bersabarlah, dan redha, kerana dengannya engkau akan merasa lapang dan seolah-olah Allah ada bersamamu... kalaupun engkau banyak dosanya, yang menyebabkan engkau rasa rahmat Allah itu jauh darimu, semoga kata-kata Rasulullah saw ini menjadi penghibur hatimu... pernah baginda bersabda yang bermaksud:

Drpd Anas bin Malik ra berkata, bhw dia mendengar Rasulullah saw bersabda, bhw Allah swt berfirman : " Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepadaKu maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau meminta ampun kepadaKu nescaya Kuampuni. Wahai anak Adam, jika engkau dtg kepadaKu dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemuiKu tanpa menyekutukan sesuatu pun denganKu, nescaya Aku dtg kepadamu dengan ampuna seluas bumi pula."

(Riwayat al-Tirmizi no3534 dan al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah)
Rujukan: Hadis 40 Imam Nawawi, Terbitan Telaga Biru, Tulisan Dr Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria


Astaghfirullah al 'azim.... apa yang mengharukan, ketika saya dilanda murung memikirkan ujian ini, pada hari yang sama, selepas solat Asar, Allah mentakdirkan saya untuk membaca sebuah buku. Lalu dengan izinNya, saya menemui hadis di atas. Subhanallah..... sememangnya terasa Allah itu Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Pengampun, Maha Mulia.... maka dengan pujukan ini, saya akan terus bersabar dan berusaha... bila masanya tiba, dengan izin Allah, setiap kesulitan ini akan dipermudahkanNya....

Oleh itu, dengan ujian ini, syukur kepadaMu Ya Allah..