Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah atas nikmat iman yang dikurniakanNya buat kita. Saya doakan anda semua berada di dalam perlindungan dan rahmat Allah sentiasa... :)
Suami sudah pergi kerja, tetapi saya sudah bercuti untuk menyambut kelahiran si kecil bakal penyeri rumahtangga kami tak lama lagi, insyaAllah.... :) Rindu rasanya menjadi suri rumah 'sepenuh masa' macam masa belum dapat kerja dulu. hihiii... Syukur diberi peluang sekali lagi untuk menghargai nikmat ini. Bahagianya hati apabila sempat sediakan sarapan, sempat tengok suami gerak pergi kerja pagi-pagi, sempat siapkan kerja-kerja rumah dengan sebaik-baiknya, sempat sediakan makan malam yang sempurna, dan sempat sambut suami balik kerja dalam keadaan diri yang tidak compang-camping! hehehehe.....
Kita sebagai seorang wanita bekerja, yang juga merupakan seorang isteri & ibu memang sentiasa inginkan yang terbaik untuk semua yang berada dalam tanggungjawab kita. Tidak dinafikan kerja 3 in 1 ini adalah pekerjaan yang memenatkan fizikal, tetapi kudrat seorang wanita bukan terletak pada fizikalnya semata-mata. Bahkan kekuatan seorang wanita itu terletak pada hatinya.
 |
Wanita sebagai isteri, ibu & guru |
Seorang wanita dikurniakan Allah kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Hatinya akan merasa sedih sekiranya keperluan suami & anak-anak tidak mampu dipenuhi sebaik-baiknya. Saya akan merasa kecewa apabila tidak dapat menemani suami bersarapan setiap pagi kerana perlu pergi kerja awal darinya. Oleh itu, saya akan siapkan sarapan, air kopi favourite suami, siapkan matrik card, stokin, hfon, wallet, air bekal, dan apa-apa keperluan untuknya pergi kerja. Maka, di tempat kerja saya laksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh supaya kerja-kerja tidak dibawa pulang ke rumah. (Kalau bawak balik pun, memang tak buat hehehe....) Di rumah hanyalah masa untuk suami & keluarga. Guru sekolah seperti saya, waktu bekerja harian hanyalah sampai jam 4. Tetapi, kadang-kala bebanan kerja memaksa juga untuk pulang lewat ke rumah. Kalau tak sempat nak masak makan malam dan terpaksa beli sahaja, rasa kecewa lagi dengan diri sendiri. Seolah-olah gagal mengurus masa dengan baik. Kalau dah ada anak ramai nanti entah macam mana agaknya ye? hihihiii... Itulah dia, priority seorang wanita ini adalah sebagai isteri. Jika suaminya redha, maka baiklah segala-galanya dalam hidup.
Bersyukur kerana dihadiahkan oleh Allah dengan seorang suami yang memahami. Hidup dengan suami sebaik dia memang menyeronokkan dan memberi ketenangan dalam hati. Suami yang tidak memaksa, suami yang sering membantu buat kerja-kerja rumah, suami yang sabar dengan yang kurang dan bersyukur dengan yang banyak. Suami seperti ini dipuji Rasulullah, sebagaimana baginda pernah bersabda yang bermaksud, "Sebaik-baik lelaki adalah yang baik terhadap isterinya."
 |
Gurauan antara suami isteri adalah penyeri ruamhtangga |
Saya kasihan dengan nasib segelintir wanita, baik yang bekerja atau suri rumah sepenuh masa. Ada yang ditakdirkan bertemu jodoh dengan seseorang yang hanya tahu meminta ini & itu, yang seolah-olah tidak faham akan penat lelah isterinya yang sentiasa menurut kemahuan suaminya. Naluri hati seorang isteri memang mahukan yang terbaik buat insan yang disayangi, tetapi isteri ini terseksa jiwanya kerana sikap suami yang hanya pentingkan diri. Bukan penghargaan sebenarnya yang ditagih seorang isteri, tetapi kasih sayang dari suami sendiri. Seorang wanita ingin merasakan dirinya disayangi, terutamanya dari suami yang dicintai. Kata-kata yang manis dari suami sebagai pendorong untuknya menjadi lebih bersemangat, dakapan yang mesra sebagai penenang hati, gurauan & senyuman dari suami sebagai pengubat kepada perkara-perkara yang merunsingkan.
Pengalaman ketika dimasukkan ke hospital dahulu, seorang hamba Allah telah datang kepada saya (kebetulan saya di surau ketika itu) dalam keadaan teresak-esak. Wanita ini sangat stres dan ingin pulang ke rumah kerana takut sakit bersalin. Dia tidak mahu bersalin normal, tetapi mahu dibedah supaya sakit bersalin secara normal tidak terasa. Allah, bukan tempat saya untuk menilai keimanan seseorang, tetapi inilah yang berlaku apabila kita kurang bergantung sepenuhnya kepada Allah. Apa yang boleh saya nasihatkan dia hanyalah sakit itu penghapus dosa-dosa. Saya harap Allah merahmati dia dan bukakan mata hatinya untuk mengenal Allah & berserah jiwa raga kepadaNya. Saya katakan padanya, cuba telefon & berbual-bual dengan suami tentang cerita-cerita masa bercinta atau apa-apa yang menggembirakan. Tetapi dia membalas, bahawa suaminya bukan seorang yang begitu. Suaminya tidak suka perempuan yang lemah. Sehinggakan dia tidak pernah mengalirkan air mata di depan suaminya kerana takut dimarahi. Allah, kasihanilah wanita ini dan lembutkanlah hati suaminya.
 |
Lumrah wanita, suka menangis ketika gembira & berduka |
Wanita memang lumrahnya suka menangis untuk melepaskan stres. Tetapi jika lumrah ini terpaksa ditahan di depan suami sendiri, memang suatu penyeksaan batin bagi seorang isteri. Semoga Allah merahmati dan mengasihani keluarga ini.
Kerana itu, bagi sesiapa yang masih single & mencari pasangan hidup, janganlah hanya menurut kehendak hati. Sayang manapun kita dengan seseorang itu, hanya Allah tempat bergantung harap. Apabila berkenan dengan seseorang dan ingin memilikinya, berdoalah & mohon petunjuk dari Allah agar dialah orang yang paling baik untuk kita, dunia & akhirat. Allah akan sayang kepada hambaNya yang sentiasa mencariNya dalam susah & senang. Maka mintalah Allah tunjukkan hati kita untuk menerima seorang yang benar-benatr akan memberi kebahagiaan. Apabila Allah mengurus kehidupan kita, Allahu akbar, seolah-olah segalanya ajaib dalam hidup kita. Apa yang kita dapat, adalah melebihi dari apa yang kita jangka. Segala puji bagi Allah, semoga Engkau jadikan aku dan suamiku sentiasa mensyukuri nikmat pemberianMu....