Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t
Saya doakan agar anda semua sentiasa gembira & hidup di dalam rahmatNya.... amiinnn...
Saya bukanlah seorang penulis yang baik. Kata-kata saya tidak berbunga, juga hanya ia petikan-petikan ilmu yang dikutip dari merata-rata. Saya bukan seorang yang alim, juga bukan berperibadi seperti wanita-wanita solehah yang lain. Kadang-kala hati rasa cemburu dengan kelembutan mereka, kehalusan kata-kata mereka, cemburu kerana mereka bisa manambat hati sesiapa yang memandang. Itulah insan-insan yang dekat dengan Allah. Kuasa Tuhan, tiada siapa mampu menghalang. Apabila Dia sayangkan seseorang di kalangan hambaNya, maka diperintahkan Jibril untuk menyeru sekalian isi langit & bumi untuk sayangkan hamba itu juga.
Insan kerdil seperti saya, yang masih merangkak-rangkak mencari jalan yang lurus. Kerap kali jatuh tersungkur akibat kelemahan diri sendiri. Bukan mudah melawan nafsu. Bukan mudah untuk istiqamah. Kerap kali juga air mata jatuh berlinangan, saat-saat terasa diri tewas dilanda dosa yang seolah-olah tiada kesudahan. Racun kepada hati.. itulah dosa.
Lidah yang beristighfar, bukannya hati. Lidah yang bertasbih, bertakbir, bertahmid, bukannya hati. Itulah 'taufiq' yang perlu dicari. Hidayah Allah datang. Tetapi tanpa 'taufiq' itu, hidayah tidak akan mampu dihayati oleh seseorang insan. Kita solat, alhamdulillah. Tetapi tidak terasa nikmat hampirnya kita kepada Allah. Kita mengaji, alhamdulillah. Tetapi tidak terasa manisnya setiap baris ayat yang dibaca. Kita berdoa, alhamdulillah. Tetapi tidak terasa kerdilnya kita dalam mengharap pertolongan dari Allah. Maka mohonlah 'taufiq' itu dengan "Ihdinas siratal mustaqiim.... Tunjukkan kami jalan yang lurus".
Inilah peperangan yang tidak akan berhenti sehingga suatu hari yang pasti. Peperangan dengan syaitan yang hanya akan tamat apabila datangnya kiamat! Iman kita sebagai perisai, zikir kita sebagai kelengkapan, dan doa kita sebagai senjata. Hari ini hari engkau wahai iblis, esok lusa hari aku pula.
Dia yang sentiasa bergayut pada hati. Apabila disebut nama Allah, dia beransur pergi. Apabila lalai dari mengingati Allah, dia menghampiri. Dibisikkan ke dalam hati janji-janji manis yang meracun diri, hasutan-hasutan yang disukai oleh nafsu, agar terus jauh dari jalan Ilahi. Walau tidak terlihat oleh mata kasar, tetapi terkesan jua di hati. Maka berlindunglah kepada Allah, agar tidak diracun hati ini.
Amin.
No comments:
Post a Comment